[VIDEO] Tiada usul ganti Presiden Bersatu - Chegubard

PORT DICKSON - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson menafikan terdapat usul untuk menggantikan Presiden parti itu kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti yang dilaporkan media kebelakangan ini.

Ketuanya, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, isu tersebut timbul selepas usul mengenai pemerkasaan kepimpinan yang mantap dan terancang di setiap peringkat telah disalah tafsir.

“Ia merujuk kepada memberi ruang dan peranan yang lebih aktif kepada Timbalan Presiden (Hamzah) dalam menjalankan operasi harian bagi memimpin barisan hadapan.

“Memanfaatkan kepakaran Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai ahli akademik dalam pelbagai sudut dan peringkat.

“Manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Pengasas akan menjadi mentor utama kepada kumpulan pemimpin muda yang telah dan akan diangkat sebagai pemuka parti.

“Tiada langsung usul penggantian Presiden dinyatakan dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bahagian Bersatu Port Dickson pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Bahagian Bersatu Port Dickson menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian pada Ahad lalu sebulat suara meluluskan usul mencadangkan peralihan kepimpinan parti dengan Hamzah sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Penasihat.

Usul tersebut turut disifatkan sebagai langkah untuk memastikan hala tuju dan kestabilan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Chegubard meluahkan kekesalan terhadap tindakan beberapa pimpinan parti yang terus mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya tanpa menyiasat kesahihan maklumat terlebih dahulu.

“Bukan nak ganti Muhyiddin, tetapi mahu menggunakan sepenuhnya kepakaran kepimpinan di setiap peringkat yang saya rasa tiada apa-apa kesalahan pun.

“Mungkin ada rakan media yang salah faham dalam pelaporan, kemudian beberapa pemimpin yang tidak matang terus memberi maklum balas menyerang, semata-mata untuk mencari publisiti murahan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa banyak usul lain turut dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut termasuk berkaitan masalah rakyat, pengurusan dan suara akar umbi yang dibawa oleh cawangan masing-masing.

Malah katanya, bahagian turut membangkitkan usul mengecam kerajaan negeri dalam pengurusan aduan, perbelanjaan mewah Perdana Menteri, isu cukai, undang-undang dan kehakiman namun usul pemerkasaan kepimpinan yang menarik perhatian dan disalah tafsir.

“Saya kesal kerana apabila dibuat aduan berkaitan masalah disiplin, ia tidak mendapat tindakan segera. Namun apabila isu ini timbul, ia pula mendapat perhatian yang tidak sepatutnya.

“Semua pihak perlu bertenang dan saya minta pemimpin yang telah mengeluarkan kenyataan salah, jika ada maruah kena perbetulkan kenyataan tersebut.

“Saya percaya Presiden lebih terbuka terhadap isu ini kerana beliau telah berdepan pelbagai cabaran lebih besar dalam mengurus parti dan dunia politik.

“Pemimpin boleh teruskan komitmen untuk lantang bersuara, tetapi fokuslah kepada isu rakyat. Isu ini membuka mata mengenai sikap segelintir pemimpin yang ‘membodek’ secara melampau, sekali gus memberi isyarat tidak baik kepada parti,” katanya.